Pentingnya Penjagaan Kesihatan Mulut

Pada: 17 Oktober 2017

Di: Media Permata > Nasional

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Dalam usaha untuk memberikan kesedaran terhadap kesihatan mulut, pelajar-pelajar perubatan Tahun 3 dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan kempen ‘Grow Up with Smiling’ dengan kerjasama Pusat Pergigian Kebangsaan di beberapa tempat sejak awal bulan ini.

Pelajar-pelajar yang menjalankan kempen tersebut ialah Tong Kah Cheong, Davis Fong Hong Teck, Dayang Nadzirah Hakeemah binti Dr. Zainal Ariffin dan Dayangku Nurfakhrina @ Dayangku Nur’ain binti Pengiran Omar yang diselia bersama oleh Dr. Jagjit Singh Dhaliwal dan Profesor Mohd Ayub Sadiq @ Lin Naing.

Acara pertama mereka telah diadakan pada 1 Oktober di Bandarku Ceria untuk meningkatkan kesedaran tentang mulut dikalangan kanak-kanak dalam persekitaran awam. Kegiatan serupa kemudian diadakan lagi di Sekolah Stella pada 7 dan 10 Oktober lalu.

Kempen ini bertujuan mendidik kanak-kanak tentang pentingnya kesihatan mulut dan cara teratur menjaga gigi di awal usia. Ibu bapa juga terlibat memandangkan mereka adalah pengaruh utama anak-anak mereka.

Di Sekolah Stella, hari persekolahan bermula dengan kegiatan pendidikan yang termasuk kepentingan penjagaan asas mulut, pilihan makanan sihat, video pendidikan tentang gigi, teknik teratur memberus gigi, sesi lakon peranan dan peraduan mewarna bagi murid-murid Tadika 3 dan Tahun 1.

Pada acara itu, ibu bapa telah menyertai sesi perbincangan yang mana mereka berkongsi pengetahuan mereka tentang kesihatan mulut, masalah gigi yang biasa dihadapi dan kesannya pada kesihatan secara menyeluruh.

Ini diikuti dengan ceramah yang disampaikan oleh Dr. Majidi, seorang doktor gigi jemputan dari Perkhidmatan Pergigian Kebangsaan Brunei dan Dr. Jagjit Singh Dhaliwal dari PAPRSB IHS, UBD. Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar terbaik bagi peraduan mewarna.

Meskipun kesihatan mulut di negara ini pada dasarnya semakin baik dari sedekad lalu, masalah kesihatan gigi masih menjadi isu penting, dengan radang gusi dan karies gigi adalah penyakit mulut paling lumrah yang dihadapi oleh 60 hingga 90 peratus kanak-kanak yang berusia antara lima dan enam tahun.

Kesihatan mulut yang terjejas boleh membawa kepada beberapa kesan kesihatan termasuklah penyakit kardiovaskular dan kelahiran sebelum tempoh dan berat badan rendah anak damit bagi ibu-ibu mengandung. Penyakit mulut boleh berlaku pada mana-mana kumpulan usia termasuklah murid-murid sekolah.

Justeru itu pendidikan perlu bermula di awal usia untuk memupuk tabiat sihat dan rasa kesedaran pada pentingnya penjagaan mulut.