Ahli panel Forum Kardiovaskular Utamakan Jantung Kitani sempena Hari Jantung Sedunia 2019.
Oleh: Salawati Haji Yahya
Pada: 17 September 2019
Dalam: Media Permata > Nasional
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Jumlah pesakit jantung berusia bawah 40 tahun negara ini semakin meningkat dalam masa tiga hingga lima tahun kebelakangan ini dan isu ini amat membimbangkan.
Peningkatan pesakit jantung ini kebanyakannya berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak sihat dan keturunan, Pakar Kardiologi Dr Mohammad Ezam Emran dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menekankan semasa ditemu bual wartawan sebelum Forum Kardiovaskular Utamakan Jantung Kitani yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Beliau yang merupakan salah seorang ahli panel forum menambah, forum tersebut adalah untuk menyemai kesedaran mengenai bahaya penyakit ini kepada orang ramai kerana penyakit jantung adalah penyakit berkaitan dengan usia seseorang. Menurutnya lagi, kebanyakan serangan penyakit jantung adalah disebabkan kehidupan kurang sihat didorong diet pengambilan makanan-makanan segera pengaruh Barat dan menjadi salah satu punca meningkatnya penyakit jantung dalam kalangan belia di negara ini.
Forum dipengerusikan oleh pensyarah di Institut Sains Kesihatan (IHS) Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB) Universiti Brunei Darussalam, Dr Deeni Rudita Idris. Ahli panel terdiri daripada Dr Mohammad Ezam Emran; Pakar Bedah Kardiotorasik Gleneagles JPMC, Dr Awangku Muhammad Nadzir bin Pengiran Mohd Juanda; Pakar Endokrinologi RIPAS, Dr Linda Chong; Pegawai Penjaga Zat Pemakanan Gleneagles JPMC,Dayang Nor Arfah binti Mohd Taib dan bekas pesakit jantung, Awang Mohd Khairulamin Sungkai.
Forum anjuran bersama Kementerian Kesihatan dan Gleneagles JPMC ini dihadiri oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.
Turut hadir ialah timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.
Forum bertujuan meningkatkan kesedaran warga perkhidmatan awam mengenai pentingnya jantung yang sihat di samping mendidik mereka langkah-langkah pencegahan penyakit jantung serta meningkatkan pengetahuan mengenal pasti risiko dan tanda awal penyakit jantung termasuk serangan penyakit tersebut.