Sidang Kemuncak Dekan Perubatan ASEAN Ke-8 Dirasmikan

PENOLONG Naib Canselor UBD (Innovation and Enterprise), Profesor Dr. Mohd. Ayub Sadiq ketika merasmikan Sidang Kemuncak Dekan Perubatan ASEAN Ke-8 bagi mewakili Naib Canselor UBD.

Oleh: Ihsan

Pada: 24 Ogos 2019

Dalam: Media Permata

 

Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (IHS PAPRSB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Dekan Perubatan ASEAN Ke-8 (8th ASEAN Medical Deans Summit - AMDS) selama dua hari bermula hari ini.

Majlis Perasmian Sidang Kemuncak tersebut disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor UBD (Innovation and Enterprise), Profesor Dr. Mohd. Ayub Sadiq, mewakili Naib Canselor UBD, berlangsung di Dewan Kuliah, IHS PAPRSB universiti berkenaan.

Seramai 46 delegasi terdiri daripada para dekan, pengarah dan ahli akademik kanan juga pendidik perubatan daripada 15 institut perubatan ASEAN menyertai sidang kemuncak yang bertema, 'Interprofessional Education and Mental Health Issues'.

Antara yang dibincangkan sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung adalah mengenai akreditasi program latihan perubatan lepasan ijazah, mempromosikan budaya penyelidikan dalam kalangan institut perubatan, kerjasama antarabangsa, kesihatan mental dalam kalangan pelajar perubatan dan pertukaran pelajar dalam kalangan institut perubatan ASEAN.

Sidang Kemuncak tersebut merupakan acara tahunan, di mana para dekan dan rektor perubatan institut perubatan ASEAN berhimpun setiap tahun untuk saling bekerjasama berkaitan dengan program perubatan mereka, sekali gus berkongsi pengalaman dalam pendidikan perubatan dalam pelbagai peringkat, di mana IHS PAPRSB mengambil bahagian dalam sidang kemuncak seumpamanya setiap tahun.

Di samping itu, terdapat 32 pelajar daripada 15 buah institut perubatan ASEAN menyertai Projek Kerjasama Pelajar ASEAN Ke-4 sebagai Program Serentak AMDS yang akan membentangkan pelbagai topik mengenai projek-projek kerjasama pelajar semasa program dua hari itu.

Program juga termasuk Mesyuarat Lembaga Dekan ASEAN yang membincangkan rancangan dan hala tuju masa depan bagi kerjasama dalam kalangan institut perubatan ASEAN.