Program ISMS Ke-12 Buka Tirai

Oleh: Imelda Groves HA

Pada: 24 July 2018

Dalam: Media Permata > Nasional

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Program Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa (ISMS) ke-12 antara Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Fakulti Perubatan, Universiti Kagawa (KUFM), Jepun telah membuka tirainya, hari ini.

Majlis pembukaan rasmi program berkenaan telah diadakan di Bangunan Tambahan Dewan Teater Kuliah 2, PAPRSB IHS, Tungku, di sini, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan perasmian program tersebut ialah Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato.

Tuan Yang Terutama dalam ucapan perasmiannya antara lain berkata, pihak kerajaan Jepun telah lama mempromosikan pertukaran belia antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun melalui pelbagai program belia yang tersedia.

Menurutnya, program pertukaran antara UBD dan Universiti Kagawa merupakan salah satu program pertukaran belia yang paling lama antara kedua-dua buah negara yang dianjurkan oleh institusi akademik.

“Saya percaya bahawa program pertukaran ini memberikan peluang keemasan untuk terus membangunkan persefahaman antara belia Jepun dan Brunei. Saya berharap para pelajar dari Universiti Kagawa mengambil kesempatan ini bukan sahaja untuk membangunkan kemahiran praktikal dalam bidang perubatan, tetapi juga kemahiran komunikasi antarabangsa dan pemikiran global,” jelasnya.

TYT Motohiko Kato ketika melancarkan pembukaan rasmi program Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa ke-12.

Katanya lagi, memandangkan sejarah dalam kerjasama positif daripada kedua-dua belah universiti ini menjadikan Universiti Kagawa semakin dikenali di Brunei dan menyedari potensi pelajar muda di negara ini.

“Saya berharap lebih banyak pelajar cemerlang dari Brunei akan belajar di Universiti Kagawa untuk penyelidikan mereka. Saya percaya ia dapat memupuk kerjasama pendidikan dan akademik di antara kedua-dua negara,” ujarnya lagi.

Sejak penubuhannya pada 2016, ISMS merupakan program kerjasama tahunan antara PAPRSB IHS, UBD dan KUFM.

ISMS adalah salah satu usaha UBD untuk menggalakkan pertukaran pelajar dalam peranannya sebagai universiti antarabangsa. Ini menandakan perkongsian bersepadu antara kedua-dua institusi dalam aktiviti akademik dan pertukaran sebagai sebahagian daripada misi universiti untuk membangunkan masyarakat menerusi penanaman intelek dan budaya.

Pada tahun ini, PAPRSB IHS menganjurkan program ini untuk dua orang pelajar Jepun iaitu Kazuhiro Irei dan Daichi Funaki yang akan menjalani program mereka bermula hari ini hingga 23 Ogos depan.

Menurut Dr Hazim Ghani dan Dr Deeni Rudita Idris selaku penyelaras ISMS 2018 ke-12, program ini merupakan pengalaman yang berharga bagi pelajar-pelajar perubatan Jepun untuk didedahkan dan menghargai kehidupan sebagai pengamal perubatan masa depan sambil menyediakan diri mereka untuk melanjutkan pembelajaran ke luar negara.

Di samping itu, program ini bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi mereka dalam Bahasa Inggeris dan juga memberi manfaat kepada pelajar tempatan di PAPRSB IHS kerana ia membolehkan interaksi dengan pelajar antarabangsa yang berada dalam bidang pengajian yang sama.

Walaupun ia mengetengahkan wawasan mereka dalam aktiviti akademik, sosial dan kebudayaan, program ini menonjolkan persahabatan antara pelajar perubatan Brunei Darussalam dan Jepun.

Kedua-dua pelajar berkenaan akan mengikuti beberapa program utama termasuk menjalani kehidupan sebagai pelajar perubatan di PAPRSB IHS, UBD menerusi pelbagai aktiviti akademik, yang meliputi sesi kuliah, sesi pembelajaran berasaskan masalah (PBL), kemahiran klinikal dan komunikasi, memperoleh pengetahuan dan pengalaman langsung menerusi lawatan klinikal, penempatan dan sesi kemahiran klinikal dan meningkatkan kecekapan Bahasa Inggeris dan kemahiran persembahan.

Program juga membolehkan perjumpaan persahabatan dengan pelajar-pelajar Brunei di UBD menerusi sistem buddy dan ahli-ahli BJFA-UBD Chapter dengan bertukar dan berkongsi budaya dan tradisi kedua-dua negara; meninjau suasana Brunei melalui aktiviti luar sosial dan lawatan rekreasi ke mercu tanda terkenal di Brunei; mengenali budaya Brunei yang asli dengan menyertai inap desa dengan keluarga angkat, belajar permainan tradisional, aktiviti muzik dan mencuba masakan tempatan.